Tuesday, 3 December 2013

Info Kecergasan

Salam.

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit info kecergasan. Info ini diambil dari buku teks PJPK Tingkatan 4 iaitu pada muka surat 4. 

1. Dalam masa 24 jam, jantung berdenyut lebih daripada 100,000 kali, mengepam 7000 liter darah melalui jarak beribu kilometer dalam saluran darah.

2. Purata denyutan jantung dalam keadaan rehat ialah 60 hingga 80 denyutan per minit. Semasa melakukan latihan yang lasak, kadar denyutan jantung bertambah. Dalam keadaan ini banyak karbon dioksida dihasilkan oleh sel-sel dalam tubuh.

3. Karbon diosida meresap ke dalam darah. Peningkatan kandungan karbon dioksida dalam darah dikesan oleh karotid dan badan aortik yang masing-masing terdapat pada dinding arteri di bahagian leher pada jantung. Dari sini isyarat dihantar ke medulla oblangata di otak. Dari otak isyarat dihantar keparu-paru supaya kadar pernafasan ditingkatkan untuk mengambil lebih banyak oksgen. Kadar denyutan jantung juga ditingkatkan untu menambah kecekapan penghantaran darah beroksigen.


Begitulah sedikit sebanyak perkongsian ilmu untuk hari ini. Semoga bermanfaat. 

Salam.

Ulser Peptik

Salam 

Lama sungguh tak update blog. Last update pun bulan Mei tahun lepas. Hehe..(lupa+sibuk+malas)..sebenarnya malas..huhu..

ok lah.. hari ni sempena dah berblog balik, saya nak tulis tentang Ulser Peptik. hah..apa bendanya tuh? ni nak cerita le ni.. Jom layan..

Sebelum tu nak bagitau yang Ulser Peptik ni adalah subtopik untuk Bab 5 PJK Tingkatan 4 Gaya Hidup Sihat bagi tajuk "Penyakit yang Berkaitan dengan Tabiat Pemakanan". Sebenarnya ada 5 subtopik / penyakit lain lagi yang turut dibincangkan iaitu obesiti, diabetis melitus, hipertensi, penyakit jantung koronari selain ulser peptik itu sendiri. Tapi saya memilih untuk membincangkan tajuk ini untuk ruangan kali ini. Yang lagi empat tu mungkin kita akan bincang pada perbincangan akan datang. Oh ya..bagi sesiapa yang ada buku teks PJK Tingkatan 4 tu, boleh rujuk muka surat 196.

Baiklah mari teruskan perbincangan kita.

Ulser peptik merujuk kepada kepada ulser perut dan usus. Ia berlaku apabila terdapat hakisan dan luka pada lapisan perut dan usus. Puncanya adalah pengeluaran asid atau enzim pepsin yang berlebihan  didalam perut semasa perut kosong. Ini menyebabkan asid dan enzim ini bergerak menuju ke usus lalu menghakis usus. Bahagian usus yang terlibat adalah bahagian duodenum iaitu bahagian yang berhampiran dengan perut.

Akibatnya, pesakit akan mengalami sakit perut, pening kepala, badan lemah dan lesu, muntah yang bercampur darah, najis menjadi hitam atau gelap kerana ia bercampur dengan darah dan berat badan menurun.

Selain itu, tabiat pengambilan alkohol, kafein, ubat-ubatan tertentu seperti aspirin dan tabiat merokok juga boleh menjadi penyebab ulser peptik. Dalam kes-kes tertentu, ulser peptik boleh berubah menjadi kanser walaupun kebiasaanya ia tidak merebak menjadi kanser.


Ulser Peptik berlaku di dalam bahagian usus yang berhampiran dengan perut


Bagaimana cara untuk mencegah ulser peptik? Berikut amalan yang boleh dipraktikkan:  

(i)   mempunyai jadual pemakan yang teratur.

(ii)  mengelakkan makanan yang berasid seperti buah-buahan masam dan cuka

(iii) kurangkan minuman berkarbonat

(iv) pengambilan ubat-ubatan hendaklah mengikut nasihat doktor (sebelum makan atau selepas makan)

(v)  elakkan minum minuman beralkohol

(vi) tidak merokok


So, sama-samalah kita cegak ulser peptik dan mengamalkan cara pemakanan dan gaya hidup sihat.

Jumpa lagi...

Monday, 14 May 2012

OLAHRAGA - Lari Berpagar

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua !!!


Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini. Pada kali ini, kita akan membincangkan topik "Lari Berpagar". Untuk pengetahuan pembaca semua, tajuk ini merupakan subtopik kepada Bab Olahraga dalam Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Tingkatan 4. Anda boleh merujuk bab tersebut dengan buku teks PJK anda dalam muka surat 57 hingga 63. Walau bagaimanapun, post kali hanya akan membincangkan serba sedikit tentang acara lari berpagar dan Kemahiran Asas dalam acara tersebut. Semoga ianya bermanfaat kepada anda semua. Selamat membaca!






Pengenalan


Acara lari berpagar memerlukan aplikasi teknik yang tepat dan betul


Acara lari berpagar adalah acara balapan yang menarik dan diminati ramai. Acara ini juga merupakan acara lari pecut tetapi menggunakan pagar sebagai halangan. Atlet seharusnya memiliki kepantasan berlari disertai dengan kebolehan melepasi pagar-pagar dengan lancar dan berkesan dalam masa yang paling minimum di udara. Kelancaran berlari semasa berada di antara pagar-pagar yang terentang dan sewaktu melepasi pagar-pagar tersebut merupakan kperluan utama bagi peserta untuk berjaya dalam sesuatu perlumbaan. Kelancaran pergerakan ini disebut ritma. Atlet perlu mempunyai fleksibiliti yan tinngi supaya dapat mengkoordinasikan pergerakan tangan dan kaki agar dapat menghasilkan larian yang lancar. 


Kategori Acara Lari Berpagar

Kenapa ada yang terbang terbalik tu?


Acara lari berpagar peringkat antarabangsa mempunyai dua jarak yang berbeza bagi setiap kategori untuk lelaki (L) dan perempuan (P). Jarak bagi setiap kategori acara tersebut, ialah:


(i) 110 meter lari berpagar (L)
(ii) 110 meter lari berpagar (P)
(iii) 4000 meter lari berpagar (L)
(iv) 400 meter lari berpagar (P)

Kemahiran Lari Berpagar

Terdapat beberapa fasa dalam melaksanakan acara larian berpagar. Fasa-fasa tersebut ialah:

  • Permulaan
  • Lonjakan
  • Mendarat
  • Penamat

Kombinasi teknik dalam acara lompat berpagar


(a) Fasa permulaan 

Teknik permulaan acara lari berpagar adalah sama dengan acara lari pecut. Gunakan gaya dekam di blok permulaan.

  • Letakkan kaki lonjakan di belakang blok permulaan untuk mendapatkan lapan langkah sebelum melepasi pagar atau letakkan kaki lonjakan di hadapan blok permulaan untuk mendapatkan tujuh langkah sahaja. 
  • Lari dengan larian yang konsisiten dari permulaan hingga dua langkah terakhir.
  • Pendekkan langkah terakhir supaya pusat graviti berada dihadapan daripada kaki yang melangkah pagar.
(b) Fasa lonjakan

Jarak lonjakan ke arah pagar bergantung kepada beberapa faktor, iaitu:

  • Ketinggian atlet
  • Kelajuan larian
  • Jarak jangkauan kaki hadapan
  • Kelajuan langkah kaki hadapan

Jarak lonjakan ke pagar adalah mengikut keupayaan atlet. Lonjakan pagar juga bergantung kepada kecondongan badan yang sesuai melepasi pagar dengan meminimumkan pergerakan di udara. Kecondongan badan ke hadapan (dip) membantu keselesaan di udara dan dapat menimbangi daya tarikan graviti.

Gaya lonjakan kaki yang baik:

  • Meninggalkan muka trek sama seperti pecut
  • Melonjak dengan menggunakan hujung tapak kaki
  • Kaki hadapan diangkat tinggi
  • Kepala tegak memandang ke hadapan
  • Pusat graviti ke hadapan sedikit dari kaki yang melonjak


Fasa-fasa dalam lari berpagar

(c) Fasa layangan

  • Angkat dengan pantas kaki hadapan melepasi pagar. Ayunkan tangan yang selari dengan kaki hadapan dengan pantas.
  • Bengkokkan lutut kaki belakang ke sisi mengarah keluar. Ayun tangan yang selari dengan kaki belakang dengan pantas.
  • Condongkan badan ke hadapan. Badan seolah-olah melayang ke udara. 
(d) Fasa mendarat

  • Jatuhkan kaki hadapan tanah dengan pantas sebaik sahaja kaki belakang melepasi pagar.
  • Berat badan di hadapan kaki.
  • Tarik tangan yang bertentangan kaki hadapan ke belakang dengan pantas.
  • Mendarat dengan hujung kaki hadapan (lead leg)

(e) Fasa penamat

  • Lari dengan pecutan maksimum sebai sahaja kaki hadapan mendarat.
  • Ayunkan kedua belah tangan secara agresif dengan bantuan kaki belakang.
  • Pecut hungga ke garisan penamat dengan enam langkah sahaja
    .




Tuesday, 8 May 2012

GAYA HIDUP SIHAT- Pengurusan Stres

Apa itu stres? Stres boleh didefinisikan sebagai suatu reaksi yang tidak spesifik oleh tubuh badan seseorang ke atas tekanan yang diterima. Dengan kata lain, stres juga boleh ditakrifkan sebagai interaksi atau pun respon tubuh badan anda terhadap apa sahaja kehendak atau tekanan.

Stres menjadi gejala yang membimbangkan pada hari ini



Stres berlaku disebabkan oleh kesan tindak balas seseorang terhadap 'stressor' Stres boleh dibahagkan kepada dua jenis iaitu:

                  (i) Eustres-     stres yang baik atau positif seperti berjaya
                                         mendapat anugerah pelajar cemerlang
        (ii) Distress - stres yang tidak baik atau negatif seperti gagal dalam                               peperiksaan

Pelajar seringkali menhadapi stres ketika musim peperiksaan



 Apabila anda berasa stres, tubuh badan badan kita sebenarnya akan merembeskan bahan kimia ke dalam darah. Bahan kimia ini akan memberi kesan dengan memberi lebih tenaga dan kekuatan yang mana baik sekiranya seseorang itu sedang menghadapi situasi bahaya. Walau bagaimanapun, stres juga boleh mendatangkan kesan negatif terutamanya terhadap emosi seseorang.

Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan berlakunya stres. Faktor-faktor tersebut adalah faktor dalaman dan faktor luaran. Contoh faktor luaran adalah seperti tempat belajar, keluarga, persekitaran dan masyarakat. Faktor dalaman pula ialah seperti imej diri dan pengurusan diri. Walau bagaimanapun, penerimaan seseorang terhadap stres adalah berbeza-beza. Perkara yang menimbulkan stres pada seseorang pula dianggap biasa oleh seseorang yang lain. Oleh itu, seseorang harus bujak mengendalikan sesuatu perkara agar tidak mendapat stres.  

Tanda-tanda Stres

Berikut merupakan tanda-tanda stres.

1. Reaksi perasaan


Seseorang yang stres biasanya akan menjadi murung dan pendiam


Perasaan cepat marah, kecewa, dan suka menyendiri adalah tanda-tanda stres negatif. Kita akan cepat berasa marah akibat tekanan yang diterima. Keadaan ini sekaligus menyebabkan mood berubah-ubah iaitu keadaan diri atau perasaan yang tidak stabil, suka dan duka bersilih ganti. Selain itu perubahan sikap kepada lebih agresif kerana menghadapi situasi juga adalah stres negatif.

2. Sukar membuat keputusan

Keadaan ini terjadi apabila kita menghadapi gangguan baru. Hal ini disebabkan fikiran tidak tenang dan bercelaru yang menyukarkan kita membuat keputusan.

Kemahiran membuat keputusan yang tepat amat penting bagi menghindari stres


3. Sakit fizikal



Kadang kala, akibat terlampau memikirkan sesuatu masalah kita mungkin akan hilang selera makan dan sukar tidur. Keadaan ini boleh menyebabkan kita mendapat penyakit seperti sakit kepala, gastrik, dan sebagainya. Kita juga mungkin lesu atau sugul.


4. Perubahan perlakuan

Stres memberi kesan terhadap perubahan tingkah laku seseorang


Kita mungkin akan berubah sikap dan perlakuan jika menghadapi stres. Kadang kala kita menjadi murung dan penyedih, adakalanya kita boleh menjadi pemarah dan hilang sabar. Kita juga sering melengah-lengahkan kerja.


Faktor-Faktor Penyebab Stres


Faktor Luaran

1. Tempat belajar

Persekitaran tempat pembelajaran terutama di sekolah memberi impak yang besar kepada seseorang. Keadaan sekolah yang bersih, hubungan baik antara guru dan pelajar serta kemesraan hubungan sesama rakan akan membantu mengurangkan stres.

2. Keluarga


Anak-anak daripada keluarga yang bermasalh lebih cenderung untuk menjadi stres

Kebahagian keluarga adalah faktor penting bagi mengelakkan stres di kalangan remaja. Kasih sayang yang diberi oleh ibu bapa kepada anak-anak dan kemesraan sesama ahli keluarga adalah tunggak kepada keluarga bahagia. Keagalan institusi keluarga memikul tanggungjawab  yang diberi menjadi punca stres yang menyebabkan remaja bermasalah.

3. Masyarakat

Situasi masyarakat pada masa kini banyak mempengaruhu remaja. MAsalah sosial seperti kejadian jenayah, penyalahgunaan bahan dan tiada hubungan baik sesama jiran tetangga boleh mengakibatkan stres. Dalam kehidupan bermasyarakat, kerukunan sesama jiran haruslah dijaga agar kehidupan lebih aman dan harmoni.

4. Persekitaran

Persekitaran yang tidak selesa seperti pencemaran bunyi daripada kenderaan dan kegiatan manusia turut mempengaruhi emosi kita. Selain itu, keadaan suhu yang tidak menentu seperti panas atau sejuk yang keterlaluan akan menyebabkan ketidakselesaan dan sekali gus menyebabkan stres.

Faktor Dalaman

1. Imej kendiri

Tekanan dalam diri yang sering dialami remaja berlaku akibat rasa rendah diri yang keterlaluan dan berasa diri tidak disukai. Contohnya bentuk fizikal, status sosio ekonomi, pencapaian akademik boleh mempengaruhi imej kendiri seseorang.

2. Pengurusan diri yang lemah

Kita tidak dapat menjadi pelajar yang cemerlang sekiranya gagal atau tidak dapat menguruskan masa dengan baik dan tiada perancangan diri. Sebagai contoh, kegagalan menyiapkan kerja-kerja sekolah, menyebabkan kita takut untuk berjumpa guru. Keadaan ini boleh menimbulkan stres.

Strategi Menangani Stres. 

Stres perlu ditangani agar kita dapat hidup selesa dan gembira. Antara cara menangani stres ialah:-

1. Kemahiran pengurusan diri

Kita perlu membuat perancangan diri yang sistematik supaya tidak menghadapi sebarang masalah yang boleh menimbulkan stres. Justeru, kita perlu menetapkan matlamat, menyenaraikan matlamat tersebut mengikut keutamaan dan seterusnya membuat penjadualan tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.

2. Kemahiran membuat keputusan

Apabila kita menghadapi sesuatu masalah, kita perlu menyenaraikan segala tindakan yang boleh diambil. Kita perlu mengkaji kebaikan dan keburukan setiap tindakan dan memilih tindakan yang paling sesuai. Oleh yang demikian, kita boleh menyelesaikan masalah tersebut tanpa mengikut emosi.

3. Hubungan yang baik

JAlinkan hubungan yang baik dengan jiran dan rakan-rakan untuk menjaminkehidupan yang lebih harmoni. Hormat-menghormati, tolong menolong, dan bertolak ansur adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan tanpa mengira perbezaan umur, pangkat, bangsa, dan agama.

4. Kecergasan fizikal

Badan yang cergas membantu mengurangkan stres


Kita mesti mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam selalu, dan mendapat rehat yang mencukupiuntuk mendapatkecergasan fizikal yang optimum. Kecergasan fizikal yang optimum mengurangkan stres.

5. Menilai semula pegangan hidup

Mendekatkan diri kepada agama salah satu cara menangani stres dengan berkesan


Kita perlu menilai semula pegangan dan falsafah hidup kita. Pegangan agama dan nilai moral diri yang kuat akan membantu kita mengkaji sikappositif dan negatif yang ada dalam diri.  

Selamat Datang!

Assalamualaikum!
Salam Sejahtera.
Salam 1 Malaysia.

Selamat datang di ucapkan kepada para pengunjung blog Pendidikan Jasmani Tingkatan 4 yang dihormati sekalian. Blog ini dibina bertujuan untuk berkongsi ilmu, memberi input dan maklumat berguna mengenai subjek Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan (PJPK) Tingkatan 4 kepada para pelajar, pendidik dan anda semua. Walau bagaimanapun, blog ini juga ini terbuka kepada topik-topik PJPK lain dari tingkatan lain.




Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda kerana sudi meluangkan masa untuk melayari blog ini. Diharapkan blog ini berguna dan memberi manfaat kepada anda semua. Sekian.

Daa..
Jumpa lagi.

Salam